Sabtu, 28 November 2009

Israel Beku Pembinaan 10 Bulan




BAITULMAQDIS 26 Nov. - Israel semalam menawarkan pembekuan sementara aktiviti pembinaan perumahan haram Yahudi selama 10 bulan di Tebing Barat.


Langkah itu disambut baik oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai membantu memajukan proses damai tetapi ditolak bulat-bulat oleh Palestin yang menganggapnya tidak memadai.


"Hari ini Kabinet memutuskan dasar menahan diri berhubung kawasan penempatan, yang termasuk pembekuan permit bagi pembinaan perumahan baru di Judea dan Samaria selama tempoh 10 bulan," kata Perdana Menteri, Benjamin 


Netanyahu pada sidang media semalam, dengan menggunakan nama Yahudi bagi Tebing Barat.


Namun ujarnya, kerajaan tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas aktiviti pembinaan di Baitulmaqdis, kota suci yang dituntut oleh rejim Zionis itu sebagai ibu negara Israel.


Netanyahu juga berkata, Israel akan meneruskan pembinaan bangunan awam di wilayah yang didudukinya.


Pembekuan menyeluruh aktiviti pembinaan termasuk di Baitulmaqdis Timur yang majoriti penduduknya Arab menjadi tuntutan utama Palestin bagi menghidupkan semula rundingan damai yang tergantung semasa perang di Genting Gaza pada awal tahun ini.


Justeru tawaran Netanyahu itu ditolak oleh pihak Palestin sebagai tidak memadai.


"Netanyahu tidak memajukan sebarang formula bagi melancarkan semula rundingan," kata ketua perunding Palestin, Saeb Erakat.


Sebaliknya aktiviti pembinaan penempatan haram akan diteruskan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, malah kegiatan pembinaan di Baitulmaqdis akan bertambah rancak dalam tempoh 10 bulan akan datang berbanding sekarang, tegas beliau.


Pengumuman Netanyahu itu disambut baik oleh Washington, dengan duta AS ke Asia Barat, George Mitchell menggambarkannya sebagai 'cukup penting' kerana melebihi apa yang dilakukan oleh kerajaan Israel sebelum ini, walaupun tidak melibatkan pembekuan total aktiviti pembinaan.


Jurucakap Presiden Palestin Mahmud Abbas, Nabil Abu Rudeina bagaimanapun berkata, Baitulmaqdis ialah 'garisan merah yang tidak boleh dilintasi, pada pandangan penduduk Palestin dan Arab'.


Israel melihat Baitulmaqdis Timur sebagai sebahagian ibu negaranya dan tidak menganggap kawasan perumahan Yahudi di sana sebagai penempatan haram.


Palestin mahu menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka suatu hari nanti. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan